Konsep Akhlak

http://ciptaan-mulia.blogspot.com/PENGERTIAN AKHLAK


Akhlak dari segi bahasa didefinisikan sebagai moral, tabiat, perangai, budi, adab, sifat semulajadi, maruah, watak, amalan agama atau rupa batin seseorang. Secara etimologi akhlak berasal daripada kata al-akhlaqu iaitu kata jama’ daripada perkataan al-khuluq yang bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, maruah, adat kebiasaan, malah ia juga beretri agama itu sendiri. Perkataan al-khulq ini di dalama-Qur’an hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya dalam surah al-Qalam ayat 4 iaitu :

Maksud-Nya : Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung

Sementara perkataan al-khalqu bererti kejadian, ciptaan, dan juga bermaksud kejadian yang indah dan baik apabila dirujuk kepada kejadian manusia, ia membawa maksud struktur tubuh badannya yang indah dan seimbang. Jika dirujuk kepada kejadian alam semesta, ia juga membawa erti kejadian atau ciptaan yang indah, tersusun rapi, menurut undang-undang yang tepat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah ali-‘Imran ayat 190 iaitu :

Maksud-Nya : Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.

Dalam Qamus al-Munjid, Lisan al-`Arab dan Mu`jam al-Falsafi akhlak diberikan pengertian sebagai suatu sifat semulajadi, tabiat, agama atau ringkasnya gambaran batin seseorang. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga akhlak memberi maksud budi pekerti, kelakuan, tingkah laku manusia dan tabiat samada baik atau jahat.

Dari segi istilah, akhlak membawa pengertian suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh setengah manusia kepada yang lainnya, menyatakan tujuan yang harus dituju oleh manusia dalam perbuatan mereka dan menunjukkan jalan untuk melakukan apa yang harus diperbuat. Menurut Prof. Omar Al Toumy Al Syaibani, akhlak adalah sebagai ilmu yang mengkaji tentang hakikat perbuatan berakhlak, sifat kebaikan, kejahatan, kebenaran, kewajipan, kebahagiaan, hukum dan tanggungjawab akhlak, motif kelakuan dan asas-asas teori gagasan akhlak.

Menurut ahli falsafah Islam, Ibnu Miskawayh mendefinisikan akhlak dalam kitabnya iaitu Tadhib al-Akhlak sebagai keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinyalah terbentuk perbuatan dengan mudan dengan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.

Muhammad `Uqlah dalam al-Nizam al-Akhlaqi fi al-Islam mentakrifkan akhlak sebagai keadaan diri yang tenang terkeluar darinya perbuatan2 dengan senang dan mudah tanpa berhajat kepada akal fikiran. Sekiranya terkeluar darinya perbuatan yang baik menurut akal dan syarak dipanggil akhlak yang baik. Sebaliknya jika yang keluar perbuatan yang buruk menurut akal dan syarak maka dipanggil akhlak yang buruk.

PEMBAHAGIAN AKHLAK

Akhlak terbahagi kepada dua bentuk iaitu akhlak mahmudah dan madzmumah. Akhlak mahmudah bererti akhlak yang baik seperti beribadah kepada Allah s.w.t, mencintai-Nya dan mencintai makhluk-Nya dan berbuat baik serta menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dibenci dan dilarang oleh Allah s.w.t. Membuat segala kebaikan dengan niat yang ikhlas, berbakti kepada kedua ibu bapa dan selainya. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 90 menjelaskan suruhan Allah s.w.t melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran iaitu :

Maksud-Nya : Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Dalam konteks kajian, menjaga hubungan baik sesama manusia adalah merupakan salah satu nilai akhlak mahmudah dan sebagaimana dalam ayat 90 surah an-Nahl jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t melarang daripada mengadakan permusuhan. Akhlak madzmumah merupakan akhlak atau tabiat yang buruk, melanggari perintah dan suruhan Allah s.w.t seperti sifat ujub, sombong, riya', dengki, melakukan kerosakkan, bohong, bakhil, malas, dan sebagainya. Akhlak mahmudah adalah merupakan antara sebab-sebab manusia memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya akhlak madzmumah adalah asal penderitaan di dunia dan akhirat.

KEPENTINGAN AKHLAK

Akhlak ataupun budi pekerti memegang peranan penting dalam kehidupan manusia. Akhlak yang baik akan membezakan antara manusia dengan haiwan. Manusia yang berakhlak mulia, dapat menjaga kemuliaan dan kesucian jiwanya, dapat mengalahkan tekanan hawa nafsu, berpegang teguh kepada sendi-sendi keutamaan Islam. Menghindarkan diri daripada sifat-sifat kecurangan, kerakusan dan kezaliman. Manusia yang berakhlak mulia, suka tolong menolong sesama insan dan makhluk lainnya. Mereka mudah untuk berkorban demi kepentingan bersama. Manusia yang memiliki budi pekerti yang mulia, mudah kepada kebenaran dan keadilan, toleransi, mematuhi janji, lapang dada dan tenang dalam menghadapi segala halangan dan rintangan.

Akhlak yang baik berperanan dalam mengangkat martabat manusia ke darjat yang tinggi dan mulia. Akhlak yang buruk akan membinasakan seseorang insan dan juga akan membinasakan umat manusia. Manusia yang mempunyai akhlak yang buruk senang melakukan sesuatu yang merugikan orang lain, senang melakukan kekacauan, mudah terjerumus melakukan perbuatan tercela yang akan membinasakan diri sendiri dan anggota masyarakat. Hal ini sebagaimana dalam hadith riwayat Ahmad mengatakan bahawa telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : Orang Mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya.

Golongan beriman akan menjadi sempurna imannya adalah kerana akhlaknya. Oleh itu, akhlak sememangnya memainkan peranan penting kepada manusia sejagat.