Konsep Etika


Definisi


Istilah etika berasal dari perkataaan Yunani kuno iaitu “ethos” yang membawa erti kebiasaan, adat, akhlak, keperibadian dan watak. Ethos juga membawa maksud adat kebiasaan.[1] Ia juga membawa maksud karakter. Perkataan ethos juga terdapat dalam kamus bahasa inggeris yang bermaksud sifat moral dalam sesuatu bangsa.

Dalam bahasa Inggeris, ethic bermaksud akhlak, tatasusila, kesusilaan dan etika. Manakala ethics bermaksud prinsip akhlak, ketatasusilaan dan ilmu etika. Menurut kamus lain, ethic bermaksud system of moral and principal rules of conduct yang bermaksud sistem prinsip akhlak; peraturan-peraturan perilaku. Manakala ethics pula bermaksud sains yang menumpukan perhatian kepada akhlak.

Dalam bahasa Melayu, etika bermaksud kepercayaan ataupun tanggapan terhadap sesuatu perkara sama ada ianya benar, salah, baik atau buruk.[2] Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula, etika bermaksud ilmu berkaitan prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Ia juga melibatkan tanggungjawab dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Contohnya Etika Perkhidmatan Awam yang melibatkan kakitangan awam.[3]

Pembahagian Etika

Etika secara umum terbahagi kepada dua jenis iaitu etika berbentuk deskriptif dan normatif. Etika deskriptif adalah disiplin yang membicarakan sistem moral yang dianuti individu atau golongan dan berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat atau keadaan. Ia dibicarakan dalam aspek yang luas.[4]

Manakala etika normatif pula menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Ia juga mencadangkan sistem etika yang standard berpandukan sistem yang sedia ada, contohnya “etika pemimpin” dan “etika perubatan”. [5]

Etika Menurut Islam

Etika dalam Islam adalah akhlak.[6] Ia merujuk kepada nilai akhlak atau prinsip moral yang berdasarkan al-Quran dan Hadith. Etika Islam juga merujuk kepada nilai-nilai baik dan dengan melakukannya seseorang akan mendapat ganjaran pahala.[7] Selain itu ia juga dapat ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan yang mengajarkan mana baik dan mana yang buruk berdasarkan ajaran Allah dan RasulNya.[8]

Ciri-Ciri Etika Islam


Etika Islam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang membezakannya daripada etika menurut perspektif barat. Ciri-cirinya yang istimewa ini tidak terkandung di dalam etika mengikut falsafah barat. Antara ciri-cirinya adalah seperti indeks untuk menentukan etika diukur berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan bukannya akal semata-mata.[9]

Etika Islam bersifat universal dan komprehensif serta dapat diterima oleh seluruh manusia di setiap masa dan tempat termasuk dalam bidang politik dan kepimpinan. Etika Islam berkait rapat dengan hukum halal dan haram, pahala dan dosa. Termasuk dalam konsep ibadah. Ia tertakluk kepada konsep matlamat tidak menghalalkan cara.


[1] H.Hamzah Ya’kub. Dr. (1991), Etika Islam: Pembinaan Akhlaqul Karimah. C.5. Bandung : c.v Diponegoro, hal.12.
[2] Sharifah Haayati Syed Ismail. Dr. (2000), Budaya dan Etika Kerja Tempatan dan Pengaruhnya Terhadap Perubahan Hukum, Kertas Kerja Seminar Hukum Islam Semasa III Peringkat Kebangasaan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 7-8 November 2000, hal.3.
[3] Mohd Tap b. Salleh et.al (1991), Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara, hal.20-21.
[4] Mohd Nasir Omar (1992), Falsafah Etika Barat dan Islam. C.2. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, h. 20-21.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Sharifah Hayaati Syed Ismail. Dr., (2000), Op.cit.,h.6.
[8] H. Hamzah Ya’kub . Dr., (1991),0p.cit.,h.13.
[9] H.Hamzah Ya’Kub. Dr., (1991), Op.cit., h.14