Konsep Jiran


DEFINISI

Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga.[1]

Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”.[2]

Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita.

PEMBAHAGIAN JIRAN 

Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :

Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.

HAK JIRAN YANG PERLU DIPELIHARA

Hak jiran perlu bagi setiap individu untuk pelihara kerana hal ini adalah selari dengan tuntutan agama. Tidak menyakiti jiran dan seringkali memelihara keamanan dengan jiran. Hal ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya.”[5]

Menghormati jiran dan pengamalan mereka selagimana tidak membawa mudharat. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selagimana tidak membawa bahaya dan mudharat.

Umat Islam yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan.

Antara hak jiran yang lain yang perlu dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka. Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat daripada banyak panduan daripada hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar yang menyebut telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : Wahai Abu Dzar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau.

Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadith, jelas menunjukkan bahawa Islam seringkali menganjurkan dan menyeru umatnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan jiran tetangga dan memelihara hak-hak jiran disamping menghormati jiran-jiran bukan Islam selagimana tidak merosakkan akidah dan akhlak.

[1] Mustafa Haji Daud (1991), Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. h.56.
[2] Ibid., h.56
[3] Dekat dan jauh di sini ada pendapat yang mengertikan dengan tempat, hubungan kekeluargaan, dan ada pula antara yang muslim dan yang bukan muslim.
[4] Ibnu Sabil ialah orang yang dalam perjalanan yang bukan maksiat yang kehabisan bekal termasuk juga anak yang tidak diketahui ibu bapanya.
[5] Lihat hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47.