Konsep Emosi Menurut Perspektif Islam

PENGENALAN

Emosi didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Iaitu kehebatan dan kesensitifan perasaan yang selalunya diluahkan dari dalaman kepada tingkah laku tertentu atau cara kita menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan.

Menurut Kamus Bahasa Melayu (1994), menyatakan bahawa emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih, marah dan lain-lain. Oxford Advanced Learners’ Dictionary (1995), menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dan pelbagai jenis kasih sayang, keriangan, benci, takut, cemburu, keseronokan atau gangguan pada perasaan. The Oxford Dictionary of Current English (1986) pula menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dari dalam terutamanya daripada aspek mental atau naluri, seperti kasih sayang ataupun takut. Muhammad Uthman Najati (1993), emosi merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang.[1]

Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit untuk menunjukkan apa yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi.

Ada kalanya emosi dianggap sebagai suatu alasan yang saling berlawanan. Sama ada beralasan untuk mengikut kehendak emosi atau tidak membiarkan emosi menguasai diri. Demikian adalah konteks yang selalu berkaitan mengenai emosi iaitu tentang penghasilan resolusi untuk mengawalnya. Oleh itu, emosi adalah satu ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan-perasaan kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi dapat berlaku secara naluri bergantung pada situasi.

BENTUK-BENTUK EMOSI

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith dan pendapat para ulama’, kejadian manusia adalah terdiri daripada unsur jasmani dan rohani, maka Islam tidak pernah menafikan tentang wujudnya emosi dalam diri manusia. Malah al-Qur’an telah menggambarkan beberapa bentuk emosi yang terdapat dalam diri manusia seperti :

Emosi Takut

Iman al-Ghazali dalam menghuraikan emosi takut telah mengibaratkan ia sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini. Prof Madya Dr Ab Aziz Mohd Zin pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menjelaskan bahawa emosi takut merupakan perasaan yang ada pada diri manusia. Manusia akan merasa takut apabila berhadapan dengan perkara yang merbahaya dan kemudaratan. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am ayat 15 yang mana telah menjelaskan tentang emosi takut yang wujud pada manusia.

Maksud-Nya : Katakanlah: "Sesungguhnya Aku takut akan azab hari yang besar (hari kiamat), jika Aku mendurhakai Tuhanku."
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya al-Qur’an wa Ilm al-Nafs telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah s.w.t, manusia dan juga takut kepada kematian serta kemiskinan.

Emosi Marah

Emosi marah merupakan salah satu perasaan yang timbul apabila manusia berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi marah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam.

Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan.

Emosi marah yang tidak dapat dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri serta orang lain. Allah s.w.t turut menyeru manusia supaya menahan marah seperti dalam firmannya dalam surah Ali Imran ayat 134.

Maksud-Nya : (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Dalam Islam memperakui bahawa adanya emosi marah, tetapi bukan emosi marah yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan kerosakan kepada dirinya dan masyarakat seperti mana al-Razi menjelaskan bahawa kemarahan yang keterlaluan boleh membahayakan diri sendiri. Islam tidak melarang manusia mempunyai perasaan marah yang kena pada tempatnya dan diperlukan. Dalam konteks dakwah Islamiyah, Rasulullah s.a.w pernah marah. Kemarahannya kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran.

Emosi marah merupakan naluri semulajadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan diri dan orang lain.

Emosi Benci

Emosi benci mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah apabila manusia benci melihat kemungkaran yang berlaku akan mendorong manusia untuk memperbetulkan keadaan tersebut manakala keburukannya pula ialah apabila emosi benci tidak dapat dikawal boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan serta pertelingkahan.

Dalam al-Quran yang menceritakan tentang wujudnya emosi benci dalam diri manusia. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 216.

Maksud-Nya : Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.

Dalam konteks dakwah pula emosi benci ini hendaklah digunakan di tempat yang betul dan melarang daripada mempunyai perasaan benci yang boleh membawa kepada pergaduhan atau kerosakan dalam masyarakat.

Emosi Malu

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Hal ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri. Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut, berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang menyimpang ke samping serta terjurus ke lantai dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu. Suara seorang yang berasa malu bernada rendah, lembut, menggeletar dan teragak-agak. Mimik muka menjadi tersipu, mulut akan tersenyum dan dia akan mengundur diri.[2]

Kesan positifnya ialah perasaan malu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara melampaui batas, memalukan, menjatuhkan maruah dan sebagainya. Manakala kesan negatifnya pula ialah apabila perasaan malu dalam diri seseorang itu terlampau malu tidak bertempat, merka mungkin menghadapi kesukaran dalam berbagai perkara seperti berhadapan dengan orang ramai, tidak yakin membuat sesuatu perkara dan sebagainya. Justeru, perasaan malu perlu dikawal dengan baik agar ia tidak mendatangkan kesan negatif di dalam diri.

Emosi Sedih

Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang berhadapan dengan keadaan yang mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit. Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, berjumpa kawan-kawan dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan.

Islam lebih menganjurkan umatnya supaya tidak bersedih kepada perkara-perkara yang melalaikan dan bersedih sehingga melemahkan diri serta sehingga melahirkan kata-kata mengkufurkan Allah s.w.t. Dalam al Qur’an ada menjelaskan mengenai emosi sedih. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat 277.

Maksud-Nya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

KEPENTINGAN EMOSI

1. Kelangsungan Hidup (Survival)

Emosi memberi isyarat (alert) apabila keperluan sebagai manusia biasa tidak dipenuhi. Misalnya apabila manusia berada dalam kesunyian oleh kerana keperluan untuk berhubung dengan orang lain tidak dipenuhi. Selain itu, apabila manusia merasa takut yang disebabkan keperluan untuk keselamatan tidak dipenuhi. Apabila kita diketepikan (rejected) disebabkan keperluan yang diterima tidak dipenuhi.

2. Membuat Keputusan

Emosi menjadi punca maklumat berharga iaitu dengan membantu manusia membuat keputusan Menurut kajian apabila sistem hubungan emosi dalam otak terjejas atau rosak, manusia tidak akan dapat membuat keputusan walaupun yang mudah kerana dia tidak tahu bagaimana dia akan rasa tentang pilihannya.

3. Membuat Jangkaan / Meramal Tingkahlaku

Melalui emosi dapat meramal tingkahlaku sendiri dan tingkahlaku orang lain. Melalui pergerakkan tubuh individu mahupun reaksi individu dapat menunjukkan akan keadaan emosi individu tersebut. Contohnya emosi suka yang mana dapat diterjemahkan melalui reaksi senyuman dan ketawa. Melalui reaksi tersebut dapat dibuat jangkaan bahawa seseorang individu itu sedang berada dalam kegembiraan.

4. Menentukan Batasan

Emosi memberikan isyarat apabila diri tidak selesa dengan perlakuan seseorang. Jika percaya dengan emosi dan yakin dapat menyatakan perasaan akan dimaklumkan apa kita rasa atau berasas tidak selesa sebaik wujud rasa tidak selesa. Tindakan ini membantu kita menetapkan batasan untuk menjaga kesejahteraan, kesihatan fizikal dan mental.

5. Komunikasi

Emosi membantu kita berkomunikasi dengan orang lain. Ekspresi wajah dapat menyampaikan maklumat tentang apa yang kita rasa pada waktu itu. Misalnya seorang individu berada dalam perasaan sedih, tersinggung, perlukan pertolongan dan sebagainya. Jika kita berupaya membaca gerak tubuh atau isyaratnya, kita dapat membantu dan menunjukkan empati. Melalui emosi juga membantu dalam komunikasi tanpa suara.

6. Kegembiraan

Emosi juga menjadi penting dalam membantu mengetahui bagi manusia bahawa mereka gembira apabila merasa gembira. Apabila merasa gembira kita berasa puas hati, selesa, nikmat perasaan yang datang apabila keperluan emosi dipenuhi. Oleh itu, emosi menjadi perkara penting dalam membawa penafsiran perasaan gembira dan suka.

7. Penyatuan

Emosi mungkin punca potensi utama menyatukan umat manusia pelbagai agama, bangsa, budaya malahan pegangan politik. Emosi adalah bersifat menyeluruh (universal) yang mana merangkumi empati, belas kasihan, kerjasama dan kemaafan. Emosi juga boleh memecah belahkan umat emosi sepertimana emosi benci dan marah. Melalui perasaan benci dan marah dapat menimbulkan permasalahan dalam perhubungan seperti dalam institusi rumahtangga yang membawa kepada berlakunya kes-kes penceraian mahupun anak lari dari rumah.

PERKEMBANGAN EMOSI

Sejak awal kelahiran, manusia sentiasa berkembang dan terus berkembang dalam pelbagai sudut pertumbuhan fizikal, psikologi, mental dan sebagainya. Emosi juga adalah suatu bentuk daya kognitif yang terbentuk dan berkembang secara peringkat demi peringkat semenjak awal kelahiran.

1. Emosi Idea

Secara umumnya peringkat ini menggambarkan bahawa ekspresi penyampaian emosi adalah berada di peringkat permulaan. Manusia menyampaikan emosinya secara tidak sedar dan ia keluar daripada naluri semula jadi bawah sedar. Seorang kanak-kanak dapat merasakan sesuatu perasaan tetapi tidak dapat menyatakan mengapa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan timbulnya perasaan tersebut. Emosi yang disampaikan lebih dalam bentuk tindak balas gerakan fizikal.

2. Emosi Pemikiran

Emosi akan berkembang ke peringkat yang seterusnya iaitu apabila seseorang mampu mengaitkan emosi dengan pemikiran. Pengalaman daripada apa yang dilihat, didengar dan dialami direkodkan secara langsung sebagai reaksi emosi. Reaksi-reaksi tersebut akan disimpan dalam memori yang akan digunakan dalam proses pemikiran kelak.

Pada peringkat awal kanak-kanak, kebolehan di dalam memahami emosi dan puncanya semakin meningkat. Pengawalan emosi kanak-kanak mula meningkat termasuklah kemampuannya untuk menerima kekecewaan serta menjadi seorang yang fleksibel dalam mengawal emosi dan dorongan.

3. Faktor-Faktor Perkembangan Emosi

Terdapat beberapa faktor membawa kepada perkembangan emosi manusia antaranya faktor kepintaran yang mana manusia yang lebih pintar adalah lebih peka kepada keadaan bahaya. Apabila diri sering terdedah kepada perkara bahaya maka emosi manusia akan terbentuk seperti emosi takut, cemas dan sebagainya. Selain itu, faktor jantina juga membawa kepada perkembangan emosi. Perempuan mempunyai ekspresi atau emosi takut melebihi sekiranya dibandingkan dengan lelaki.

Seterusnya, faktor lain adalah seperti status sosioekonomi, keadaan fizikal, hubungan sosial, kedudukan dalam keluarga dan personaliti. Apabila manusia itu berada dalam kumpulan dan kumpulan itu membawa pengaruh emosi yang sama membuatkan semua ahlinya juga beremosi. Hal ini juga membantu kepada perkembangan emosi dari sudut hubungan sosial. Kanak-kanak tidak berasa yakin malahan berasa takut dalam sesuatu perkara. Perkara ini boleh dikaitkan dengan personaliti manusia. Personaliti kurang berkeyakinan melahirkan beberapa bentuk emosi seperti takut, malu dan sebagainya.

CARA PENGURUSAN EMOSI

1. Mengenal Emosi Diri Sendiri

Seseorang individu itu perlulah cuba mengenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut. Dengan kata lain, fikiran boleh menyebabkan wujudnya satu perasaan dan setelah wujudnya perasaan, maka timbullah keinginan untuk diperlakukan melalui perbuatan atau perlakuan.

2. Mengurus Emosi Sendiri

Seseorang individu itu perlulah pandai mengambil peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi itu datang tanpa diundang tetapi diri sendiri yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri dan apakah ia mendatangkan positif atau negatif.

3. Mengenali Emosi Orang Lain

Seseorang individu itu perlu mengenali perasaan diri sendiri dahulu, kemudiannya barulah cuba untuk mengenali, memasuki dan menjelajahi emosi individu yang lain pula atau dengan kata lain empati. Cara ini perlu bagi mengelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila ada individu lain yang mahu mencurahkan emosi mereka.

4. Memotivasikan Emosi Yang Negatif

Seseorang individu itu perlulah menjadikan emosi yang negatif itu sebagai satu alat untuk meningkatkan keupayaan dalam berfikir, merancang dan menyelesaikan sebarang masalah. Emosi yang negatif sebagai pemangkin kepada perubahan emosi yang positif.

5. Mengendali Perhubungan Melalui Komunikasi

Setelah mengenali emosi orang lain dan berjaya serta berupaya mengurus diri sendiri, maka perhubungan yang positif dan keakraban dapat dibentuk dan diwujudkan. Perhubungan dan keakraban ini boleh diwujudkan dengan lebih baik lagi melalui komunikasi dan ia boleh mengekspresikan pemikiran secara aktif tanpa diwarnai dengan kemarahan.

HUBUNGAN EMOSI DENGAN KESIHATAN MANUSIA

Emosi yang sihat berkait rapat dengan setiap tindak-tanduk kita, justeru ia wajar diberi perhatian. Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan juga akan lebih terkawal. Individu akan lebih tabah menghadapi dugaan, mampu menjalinkan perhubungan yang bermakna dan bersemangat kental. Mental sihat, cergas dari segi mental bukan bermakna kita hidup tanpa sebarang masalah dan kedukaan. Sebaliknya apa yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan bersandarkan kekuatan yang dimiliki. Penjagaan fizikal jaminan emosi sihat, walau berapa pun usia, perhatian yang diberikan terhadap kesihatan fizikal, iaitu dengan menjaga tubuh badan akan sekali gus menjadikan mental lebih sihat. Hal ini kerana sewaktu bersenam, otak dan sistem saraf akan menghasilkan sejenis kimia yang dinamakan endorfin yang mampu menceriakan mood seseorang. Senaman dapat meredakan tekanan, mengurangkan kerisauan dan kemurungan. Mengamalkan corak pemakanan yang seimbang dan memastikan badan mendapat zat makanan yang diperlukan dengan secukupnya. Cara paling mudah ialah dengan mengambil makanan tambahan.

Terlalu beremosi boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan disamping mengarahkan diri kepada penyakit-penyakit. Emosi marah yang berlebihan dapat menyebabkan sakit jantung. Takut yang berlebihan menyebabkan kemurungan. Kebimbangan yang berlebihan memudaratkan buah pinggang. Sedih yang berlebihan menyebabkan sakit jantung. Malu yang berlebihan menyebabkan penyakit seperti ulser dan penyakit hati.[3]

KESIMPULAN

Emosi memiliki bentuk yang berbeza yang terdiri daripda emosi berbentuk suka, sedih, marah, malu, takut dan sebagainya. Emosi berkembang kerana motif/motivasi yang lahir dalam diri manusia. Motivasi dan emosi adalah saling berhubungan iaitu apabila motivasi berada dalam keadaan buruk maka emosi manusia itu akan menjadi buruk dan sebaliknya. Kesihatan manusia adalah bergantung kepada kecerdasan atau kesihatan emosi.

Sekiranya emosi individu itu tidak baik dan berada dalam keadaan terganggu, ia sedikit sebanyak menganggu tahap kesihatan individu tersebut. Oleh itu, pengurusan emosi yang baik perlu dilakukan oleh manusia tidak kira usia.

[1] Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6
[2] Abdul Rashid Mohamed, & Mohamad Daud Hamzah. (2005), Kajian Korelasi Emosi Malu Dengan Pencapaian Akademik Di Kalangan Mahasiswa Melayu. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil 20, h.154-155
[3] Mohammad Ali Toha Assegaf. (2010), 365 Tips Sehat Ala Rasulullah. Indonesia : Hikmah.