Tabiat Merokok Menurut Perspektif Islam


PENGENALAN

Rokok adalah silinder dari kertas berukuran panjang antara 70 hingga 120 mm (variasi bergantung kepada negara) dengan diameter sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dicacah. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain.

Terdapat dua jenis rokok, iaitu rokok yang bertapis dan tidak bertapis. Rokok yang bertapis dibuat daripada bahan busa serabut sintetik yang berfungsi untuk menyaring nikotin. Rokok biasanya dijual dalam bungkusan berbentuk kotak atau kemasan kertas yang dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam kantung. Kebelakangan ini, bungkusan-bungkusan tersebut juga umumnya disertai dengan pesanan kesihatan yang memperingatkan perokok akan bahaya kesihatan akibat merokok, misalnya kanser paru-paru atau serangan jantung.

Mengikut sejarah, manusia terawal di dunia yang merokok adalah suku bangsa India di Amerika. Mereka merokok untuk memuja dewa atau roh. Pada abad 16, ketika bangsa Eropah menemui benua Amerika, sebahagian dari para penjelajah Eropah terikut untuk menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah. Kemudian kebiasaan merokok mulai muncul di kalangan bangsawan Eropah. Berbeza dengan bangsa India yang merokok untuk keperluan pemujaan, orang Eropah merokok hanya untuk kesenangan semata-mata. Pada abad ke-17 para pedagang Sepanyol membawa masuk rokok ke Turki dan mulai saat itu, ia terus menular ke negara-negara Islam. Di Malaysia, rokok mula dikomersialkan oleh penjajah barat semasa perang dunia ke-2.

Dengan yang demikian, hari ini merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Rokok boleh didapati dengan pelbagai jenis. Jenis yang pertama dipanggil cerut yang mana saiznya adalah lebih besar. Kebiasaannya ia dinikmati oleh golongan bangsawan-bangsawan dan individu-individu yang mempunyai pengaruh yang besar. Dalam filem-filem barat, kebanyakan individu yang berpengaruh akan ditonjolkan wataknya yang sedang menikmati rokok jenis ini kerana ianya menunjukan kemegahan seseorang itu sesuai dengan watak yang dibawanya.

Jenis yang kedua pula dipanggil paip. Ini kerana asap pembakaran tembakau itu dihisap melalui satu benda yang dipanggil paip. Rokok jenis ini kebiasaanya dinikmati oleh golongan-golongan perokok yang sudah berumur. Selain paip, golongan ini juga kebiasaannya menghisap rokok daun. Ia dinamakan rokok daun kerana tembakau itu dibalut dengan daun nipah. Rokok jenis ini lebih digemari oleh penduduk kampung kerana kosnya rendah berbanding rokok yang lain. Yang terakhir pula adalah rokok yang dikilang. Ianya adalah jenis yang biasa kita lihat dijual dimana-mana. Ianya diproses dikilang dan dicampur dengan bahan kimia yang pelbagai dan dibalut dengan kertas dan dibungkus didalam kotak yang kecil.

HUKUM MEROKOK DALAM ISLAM

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukum berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil daripada rokok. Ada sesetengah ulama berpendapat bahawa hukum merokok itu adalah haram. Mereka berpendapat bahawa segala yang membawa kepada kebinasaan wajib kepada muslim menghindarinya dan haram mengamalkannya. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Majah iaitu :-

Maksudnya : “Tiada bahaya dan tiada membahayakan”.

Allah S.W.T juga berfirman di dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 195 iaitu :

Maksud-Nya : Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Sebelum ini telah dijelaskan bahawa tabiat merokok itu sememangnya memberi kesan yang negatif terhadap fizikal dan mental manusia. Pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika telah mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh". Allah S.W.T menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Furqan dalam ayat 59.

Maksud-Nya : Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, Kemudian dia bersemayam di atas Arsy , (Dialah) yang Maha pemurah, Maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.

Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa. Selain itu juga, ada sesetengah ulama terdahulu yang menghukumkan merokok itu harus atau makruh. Pendapat ini boleh diuzurkan kerana pada itu ilmu kedoktoran belum lagi menyingkap bahaya-bahaya dan kesan-kesan merokok pada jiwa dan jasmani. Maka setelah dibongkar kesan dan bahaya merokok ini oleh pakar-pakar kesihatan, maka hukum merokok yang harus dan makruh ini ditolak dan menjadi merokok itu hukumnya adalah haram.

KESAN SAMPINGAN DARIPADA TABIAT MEROKOK

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan.

Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

Perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang di sekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, imigrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim dalam hati dan adakalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Asap rokok juga boleh memberi kesan kepada isteri mengandung dan anak yang berada dalam kandungan. Kesannya antaranya adalah seperti melahirkan bayi yang kurang berat badan,
melahirkan bayi yang tidak cukup bulan, lebih terdedah kepada kanser dan mengurangkan kesuburan dan putus haid awal. Anak kepada perokok terkena kesan sampingan daripada tabiat merokok bapa atau ibu seperti anak mendapat penyakit lelah, jangkitan paru-paru, pertumbuhan paru-paru anak terganggu dan anak mudah menjadi perokok apabila dewasa.

STATISTIK PEROKOK DI MALAYSIA

Tabiat merokok dikalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan. Ini jelas daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001), yang menunjukan 20 % perokok terdiri dikalangan remaja. Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa dianggarkan seramai 50 sehingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari.

Masalah merokok di kalangan pelajar semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri.

Menurut WHO, bilangan perokok di dunia diangarkan satu bilion. Statistik juga menunjukkan bahawa 49% daripada lelaki dewasa di negara ini merokok dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju seperti di Britain 38 %, Amerika Syarikat 35 % dan Sweden 30 %. Justeru itu, keadaan ini menjelaskan kepada kita bahawa perokok yang terdiri di kalangan remaja amat membimbangkan.

Sebagaimana yang di ketahui, tabiat merokok memberi kesan negatif seperti risiko kepada kesihatan tubuh badan. Dari aspek fizikal, tabiat merokok boleh mengakibatkan bau rokok yang kurang menyenangkan kepada pakaian. Manakala dari aspek kesihatan pula, pada peringkat awal merokok boleh memberi kesan seperti seseorang perokok menjadi pelupa dan kurang selera makan. Manakala kesan jangka panjang dari aspek kesihatan pula adalah boleh mengakibatkan penyakit kanser, mandul, gigi yang rosak dan sebagainya. Walaupun masyarakat kita sedar tentang bahaya dan risiko merokok tetapi ia masih diamalkan sebagai satu tabiat oleh segelintir masyarakat pada hari ini.

Pihak kerajaan pada tahun 2003 iaitu sejak Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepimpinan negara, beliau telah bersungguh-sunguh melaksanakan kempen anti merokok di setiap jabatan, daerah, kampung dan sebagainya. Yang menariknya dalam kempen beliau itu, golongan yang menjadi sasaran utama ialah remaja yang berumur 13 sehingga 21 tahun. Ini kerana kerajaan sedar bahawa golongan yang tinggi merokok adalah dikalangan remaja.

Di samping itu, tabiat merokok juga merupakan penyumbang kepada gejala penagihan bahan. Didapati keseluruhan penagih dadah terdiri daripada kalangan perokok. Walaupun penagih dadah berada di dalam pusat serenti tetapi mereka tidak putus bekalan tembakau. Ini di sokong oleh kajian Samsuddin dan Herman dalam Modul Kempen Cara Hidup Sihat (2003) yang menyatakan bahawa 99% penagih dadah di pusat serenti mengamalkan tabiat merokok dan 95% penagih dadah yang telah bebas mengamalkan tabiat merokok. Pendapat ini turut disokong oleh beberapa kajian lain yang mendapati 99 % penagih dadah yang ditahan di semua pusat serenti mempunyai pengalaman menghisap rokok ketika usia remaja.

PUNCA-PUNCA TABIAT MEROKOK

Tabiat merokok adalah suatu masalah dan setiap masalah mempunyai punca dan sebab kepada berlaku atau terjadinya akan masalah tersebut. Sepertimana tabiat merokok juga mempunyai punca yang menyebabkan seseorang terjerumus dalam tabiat merokok. Dalam masalah merokok, boleh dilihat dalam lima bentuk faktor pendorong yang menyebabkan tabiat merokok. Antaranya faktor keluarga, diri sendiri, rakan sebaya, media massa dan masyarakat.

Sekiranya diperhatikan dalam institusi kekeluargaan, sikap atau tingkah laku ibu bapa itu sendiri mengambarkan sikap dan tingkah laku anaknya. Tingkah laku ibu bapa yang merokok mendorong kepada anak-anak merokok. Contoh teladan yang kurang baik yang ditonjolkan dalam pendidikan kekeluargaan seperti ibu bapa merokok di hadapan anak-anak secara terbuka di usia mereka masih muda. Hal ini boleh menarik kehendak anak-anak untuk merokok apabila melihat ibu bapanya merokok. Namun bagitu, masih terdapat segelintir ibu bapa dan masyarakat yang tidak mengambil berat tentang perlakuan merokok mereka yang akan ditiru oleh remaja. Pendapat ini di sokong oleh Helgason (2001) menilai sikap ibubapa terhadap pendedahan asap rokok terhadap anak-anak mereka yang berumur antara 3-5 tahun.

Selain itu, ibu bapa tidak ambil peduli di mana anak mereka berada, apa aktiviti yang dilakukan, siapa kawan-kawannya, tidak tahu hal ehwal pelajarannya serta suasana persekitaran sosial anak mereka. Ibubapa terlalu buntu atau sibuk dengan kehidupan dan tugas mereka serta tidak mengendahkan perbuatan anak-anak dan sikap ibu bapa terlalu membebaskan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pendidikan kekeluargaan dalam sesebuah institusi kekeluargaan adalah penting. Oleh itu, punca utama kepada tabiat merokok adalah daripada faktor keluarga.

Diri adalah segalanya, diri sendiri menyebabkan tabiat merokok walaupun ada faktor persekitaran yang mendorong. Kebanyakan anak remaja merokok untuk memperlihakan imej yang lebih hebat dan dewasa walaupun masih di bangku sekolah. Remaja merokok disebabkan oleh ketidaksabaran mereka untuk menjadi dewasa. Keinginan diri ingin mencuba sesuatu yang baru menyebabkan seseorang merokok. Tertekan atau stress mendorong seseorang merokok, dengan merokok dapat menenangkan jiwa. Ketagihan akan wujud apabila seseorang amat perlu menghisap rokok bagi memulihkan rasa normal keselesaan badan. Bahan-bahan di dalam asap rokok, khususnya nikotin dapat menyegarkan semula badan yang lesu dan mengantuk malahan tekanan yang dialami oleh perokok. Di samping itu, berkemungkinan terlalu banyak wang sehingga tidak tahu berbuat apa-apa, sebab itu merokok.

Faktor rakan sebaya juga boleh dikaitkan dalam tabiat merokok. Terlalu mudah dipengaruhi rakan sebaya untuk merokok. Kebiasaanya anak remaja merasakan dirinya tidak ada semangat persahabatan sebab tidak turut merokok sedangkan rakan lain merokok. Rakan-rakan mengajak rakannya untuk merokok malahan sanggup membelanja rakannya merokok. Pemilihan rakan sebaya yang tidak baik mengundang banyak keburukan. Remaja lebih cenderung untuk memilih rakan sebaya dan tingkah laku mereka ditentukan oleh ukuran kelakuan rakan sebaya mereka. Merokok boleh di dorong oleh desakan rakan sebaya. Dalam perkumpulan rakan sebaya, seseorang remaja diterima dalam sesuatu perkumpulan sekiranya mereka berani merokok, jika tidak mereka dipulaukan oleh rakan sebaya.

Faktor Media turut menyebabkan kepada tabiat merokok misalnya daripada iklan rokok yang menarik minat orang ramai untuk merokok seperti iklan rokok Perilly’s dan Dunhill ketika masa dahulu. Dahulunya banyak iklan rokok memaparkan tentang keseronokan, prestij, kejayaan dan sebagainya tentang rokok. Media cetak seperti surat khabar turut mempromosi rokok-rokok. Melalui media boleh mendorong kepada tabiat merokok.

Selain itu, faktor masyarakat di mana suasana masyarakat yang merokok secara terbuka mendorong orang lain merokok. Segelintir masyarakat menyediakan rokok secara percuma kepada orang lain seperti ketika kenduri-kenduri di mana tuan rumah menyediakan rokok kepada masyarakat setempat yang rewang di rumahnya. Terdapat pandangan lumrah bahawa rokok mudah dibeli, dan ini menyebabkan remaja mahupun orang dewasa memulai dan meneruskan tabiat merokok setiap hari. Dapatan ini menunjukkan adanya pekedai tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa melihat kesan risiko yang dihadapi oleh remaja turut menyumbang kepada tabiat merokok ini.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI TABIAT MEROKOK

Institusi keluarga menjadi medium penting dalam mengatasi tabiat merokok. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak walaupun sibuk dengan kehidupan dan kerjaya. Ibu bapa tidak terlalu bebas membenarkan anak-anak bergaul dengan rakan sebaya kerana rakan sebaya merupakan salah satu punca yang membawa kepada tabiat merokok. Sentiasa menerangkan kepada anak-anak akan keburukkan yang akan dihadapi apabila merokok. Disamping itu, ibu bapa perlu mengambil tahu masalah anak-anak untuk mengelakkan mereka daripada stress yang mendorong kepada mereka untuk merokok. Menjauhi anak-anak daripada kehidupan yang terlalu mewah, memberi wang ketika diperlukan sahaja.

Oleh itu, amat penting bagi ibu bapa mengajar sesuatu yang baik. Hal-hal yang berkaitan dengan agama, nilai dan moral dalam masyarakat perlu ditanam pada anak-anak. Nilai-nilai asas yang positif perlu ditekankan. Cara didikan anak sangat penting dalam pembentukan sesebuah keluarga bahagia. Cara didikan ibu bapa berbentuk demokratik adalah amat sesuai untuk perkembangan remaja. Cara didikan demokratik adalah yang berdasarkan kepada mengawasi dan memberi penjelasan kepada peraturan. Khususnya memberi penjelasan kepada peraturan seperti peraturan tidak boleh merokok atau berkawan dengan yang kurang baik akhlaknya. Hal ini boleh mengelakkan daripada anak-anak merokok.

Tabiat merokok adalah suatu kehendak atau kemahuan dalam diri seseorang yang mana tanpa kehendak mahupun kemahuan dalam diri seseorang itu sendiri untuk merokok maka dia tidak akan merokok walaupun pelbagai pengaruh yang ada mempengaruhi dirinya untuk merokok. Oleh itu, perlu ada benteng dalam diri bagi mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh dengan pengaruh luar yang buruk seperti pengaruh rakan sebaya, masyarakat dan media ke arah tabiat merokok khususnya. Oleh itu, pendidikan keibubapaan yang baik dan sempurna seakan menyediakan benteng dalam diri anak-anak semasa kecil lagi dan melalui hal ini maka anak-anak tidak akan terpedaya kepada pengaruh luar untuk merokok. 

Seseorang boleh mengelak dirinya daripada tabiat merokok dengan menanam sikap tidak mahu membazir wang ke arah yang tidak baik seperti merokok. Mendermakan wang yang mahu dibelanjakan untuk membeli rokok supaya menjauhi diri daripada merokok. Meletakkan dalam diri bahawa merokok boleh mendatangkan kemudaratan malahan hukumnya haram sama sekali kerana memudaratkan diri sendiri. Hal ini serba sedikit dapat menjauhi seseorang daripada tabiat merokok disamping pandai memilih rakan sebaya yang tidak membawa diri ke arah keburukan. Walaupun berkawan dengan perokok tetapi tidak turut merokok malahan menjauhi daripada tabiat itu dan ia memerlukan usaha untuk mempertahankan diri daripada keburukan rakan tersebut.

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam menangani masalah tabiat merokok dalam kalangan masyarakat. Antaranya, kerajaan boleh menaikkan harga rokok di pasaran bagi menyukarkan masyarakat merokok. Walaupun dengan menaikkan harga rokok tidak boleh memberhentikan seseorang terus daripada merokok tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pengambilan rokok dalam sehari oleh perokok tersebut. Disamping itu, pihak kerajaan turut boleh melaksanakan tindakan undang-undang kepada golongan yang merokok di kawasan awam secara terbuka sepertimana dilaksanakan di kampus institusi-institusi pengajian tinggi dan hospital yang mana ditetapkan sebagai zon dilarang merokok.

Selain itu, punca utama tabiat merokok adalah peniaga mengambil kesempatan menjual rokok kepada remaja-remaja bawah umur. Peniaga melakukan sedemikian demi mendapatkan keuntungan kerana permintaan yang tinggi daripada golongan remaja berbanding golongan dewasa. Atas dasar ini pihak kerajaan mahupun pihak berkuasa wajar mengambil tindakan kepada peniaga-peniaga yang menjual rokok kepada remaja bawah umur seperti menarik lessen perniaagaan. Hal ini dapat mengertak peniaga-peniaga daripada melakukan hal sedemikian berulang-kali dan sama sekali dapat mengurangkan statistik perokok dalam kalangan remaja.

Peranan media massa juga penting dalam mengatasi tabiat merokok. Pihak-pihak media boleh memaparkan kisah-kisah yang menunjukkan kemudaratan daripada tabiat merokok untuk menyedar golongan perokok yang ternyata bahaya. Menyediakan medium untuk golongan perokok memuhasabah diri mereka seperti menetapkan satu slot khas dalam surat khabar mahupun televisyen mengenai bahaya merokok. Hal ini dapat mengingati perokok-perokok akan tindakan mereka itu lantas dapat mengamit kalangan perokok kepada berhenti merokok. Disebabkan media masyarakat merokok dan disebabkan media masyarakat di negara ini khususnya boleh berhenti merokok kerana masyarakat mudah tertarik kepada media seperti iklan-iklan yang dikeluarkan.

Tiada penyakit yang tidak mempunyai ubat melainkan mati, sama seperti tabiat merokok yang mana ada ubatnya dan ia hanya memerlukan kepada usaha dan tindakan. Oleh itu, disarankan langkah-langkah dalam mengatasi tabiat merokok yang mana dibentuk dalam beberapa bentuk usaha iaitu usaha dalam keluarga, diri sendiri, kerajaan dan media. Tabiat merokok sebenarnya adalah masalah bersama. Setiap ahli dalam masyarakat perlu berusaha kuat agar masyarakat di negara ini akan lahir sebagai masyarakat yang sihat. Walau bagaimanapun, peranan ibu bapa dalam menangani tabiat merokok amatlah penting kerana keluarga merupakan institusi terdekat dalam kehidupan seseorang.

KESIMPULAN 

Tabiat merokok mengundang kepada permasalahan kesihatan dan merupakan punca seseorang mendapat penyakit kanser yang mana merupakan pembunuh utama di Malaysia. Bilangan perokok sentiasa bertambah dari tahun ke setahun terutamanya dalam kalangan remaja. Pelbagai punca yang membawa kepada tabiat merokok sekiranya dilihat daripada faktor keluarga, diri sendiri, masyarakat, rakan sebaya dan media sememangnya semua menjadi punca utama kepada tabiat merokok.

Oleh itu, disarankan beberapa langkah untuk mengatasi tabiat merokok yang mana diletak dalam setiap aspek yang menjadi faktor seseorang merokok iaitu aspek keluarga, rakan sebaya, masyarakat, diri sendiri dan media massa. Setiap langkah yang dicadangkan diharapkan dapat dipraktikkan sekaligus berjaya mengatasi dan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.

BIBLIOGRAFI

1. Abu Bakr Jabir Al-Jaza'iri (1991), Hukum Merokok. Terjemahan oleh Abdul Hadi Balsuthanah. Kuala Lumpur : Pustaka al-Mizan

2. Abdullah Nasih Ulwan (2008), Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. Terjemahan oleh Syed Ahmad Semait. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD. Jil 1.

3. Azana Muhammad (1997), Hukum dan kesan amalan merokok : Satu tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu. Latihan Ilmiah, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

4. Mohammad Zahirwan Halim Zainal Abidin (2003), Amalan merokok : Suatu kajian di kalangan warga Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Latihan Ilmiah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

5. Ward, Brian R (1993), Merokok dan kesihatan. Terjemahan oleh Zabri Zakaria. Petaling Jaya: Pan Earth